PENYELARAS PEMUDA DUN WAKAF MEMPELAM

PANJI PERJUANGAN UMMAH
Home » » Pemuda Tetap Bersedia Hadapi Pilihanraya

Pemuda Tetap Bersedia Hadapi Pilihanraya

Written By Azrin Aris on Tuesday, November 22, 2011 | 11/22/2011 11:29:00 PM

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh ketegasan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor di atas kenyataan beliau bahawa tidak akan berlaku pembubaran DUN Selangor sehingga Jun 2012 walaupun Perdana Menteri Malaysia membubarkan parlimen dalam jangka waktu terdekat.



Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid kerana mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengagihkan dan menyelesaikan peruntukan-peruntukan Bajet 2012 yang telah diluluskan oleh DUN Selangor baru-baru ini kepada rakyat keseluruhannya. Keprihatinan dan kesungguhan Tan Sri Khalid untuk mempastikan rakyat mendapat manfaat daripada Bajet 2012 yang telah diluluskan sewajarnya dipuji dan dicontohi oleh pemimpin UMNO/BN.

Jabatan Pilihanraya Dewan pemuda PAS Malaysia melihat sepatutnya MCA perlu mencabar UMNO supaya membaiki sistem pilihanraya dalam negara yang semakin tempang dan tidak berlaku adil kepada parti pembangkang daripada terus menerus menghamburkan fitnah dendam kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Walaupun begitu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia telah melakukan persediaan menyeluruh untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 pada bila-bila masa. Jentera pemuda PAS di semua peringkat telah bergerak lancar dengan program-program yang telah disusun untuk mendekati para pengundi terutamanya pengundi muda. Baru-baru ini, Konvensyen Pilihanraya Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan telah mengumpulkan hampir 500 orang petugas ‘UTAMA’ jentera pemuda negeri-negeri dan kawasan-kawasan.

Pengisian program yang menyentuh motivasi dan penumpuan gerak kerja yang teratur di saat akhir oleh pimpinan PAS Pusat telah memberikan suntikan semangat juang yang baru kepada para peserta untuk mempastikan kemenangan mutlak PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negara Malaysia yang tercinta ini. Para peserta juga telah membulatkan tekad dan azam untuk menyahut seruan dan cabaran Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, YB Dr Hatta Ramli untuk turun sekali lagi memenuhi pusat Bandaraya Kuala Lumpur dengan menggerakkan gelombang BERSIH 3.0 sekiranya kerajaan masih berdegil untuk tidak membersihkan sistem pilihanraya dan mengambil pandangan daripada Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) berkenaan penambahbaikan sistem pilihanraya di dalam negara ini.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat sekiranya beliau ingin menghadapi Gelombang Rakyat BERSIH 3.0 yang akan menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional. InsyaAllah.

MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

sumber dari Tranungkite.net

0 Komen:

Post a Comment

TG Haji Abdul Hadi Awang