Oleh RIDUAN MOHD NOR
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menggambarkan kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah awal minggu ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau. DPP Malaysia menganggap kenyataan Datuk Seri Hishamuddin sebagai jawapan ‘melepas diri’ dari serangan rakyat pelbagai pihak yang meminta penjelasan beliau.
DPP Malaysia berpandangan, jawapan Datuk Seri Hishamuddin tidak konkrit bagi menjustifikasikan kumpulan 13 ditahan di bawah ISA. Sekadar menuduh tanpa proses pengadilan di mahkamah bukan suatu alasan mereka boleh dihukum. DPP Malaysia mempersoalkan Hishamuddin, sekiranya benar mereka berbahaya terhadap keselamatan negara dan serantau, mengapa perlu di tangkap di bawah ISA? Mengapa mereka tidak didakwa di mahkamah terbuka bagi membuktikan mereka benar-benar bersalah dan berbahaya? Buktikan kesalahan mereka satu persatu dan bongkarkan kegiatan mereka agar menjadi teladan kepada golongan seperti mereka.
Jika pembunuh bersiri termasuk episod pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya Shaaribu serta Datuk Sosilawati masih diberikan proses pengadilan di mahkamah, mengapa tidak Kumpulan 13 juga didakwa di mahkamah yang sama. Nampaknya Kumpulan 13 lebih berbahaya daripada pembunuh bersiri, walaupun jenayah yang dituduh masih belum dilakukan lagi. Namun demikian, DPP Malaysia tidak pula menyokong sebarang aktiviti keganasan. Keganasan perlu diperangi, tetapi ISA bukan jawapannya. Banyak lagi jalan penyelesaian yang lebih adil untuk tertuduh.
Kumpulan 13 pula sekadar disyaki berbahaya, belum tentu mereka melakukan perbuatan tersebut atau terlibat dengan aktiviti tersebut. Bagaimana sekiranya pengadilan mahkamah membuktikan mereka tidak bersalah, sementara mereka pula telah ditahan di bawah ISA selama bertahun lamanya, bukankah Hishamuddin dan kerajaan Malaysia telah menzalimi rakyat Malaysia yang tidak bersalah? Ini juga yang telah terjadi kepada mangsa ISA sebelum daripada ini yang akhirnya mereka dibebaskan tanpa mengetahui apakah kesalahan yang mereka lakukan.
DPP Malaysia mengingatkan Hishamuddin dan kerajaan Malaysia agar konsisten dengan janji yang ditaburkan terhadap rakyat. Jika ISA telah dijanjikan untuk dimansuhkan, ia perlu dikotakan. Sikap ‘walk the talk’ adalah sikap terpuji yang diidamkan oleh rakyat terhadap pemimpin negara ini. Sebaliknya, beretorik, flip flop dan janji kosong yang tidak tertunai adalah watak yang dibenci oleh rakyat. DPP Malaysia juga mengingatkan sikap inilah sebagai pendorong kepada kejatuhan rejim diktator yang zalim sepertimana dialami oleh negara-negara Timur Tengah pada hari ini.
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
*dipetik dr tranungkite.net
Home »
» ISA 13 Lebih Bahaya Dari Penjenayah Bersiri?
0 Komen:
Post a Comment